Mengapa Saya Boleh Ada Tanda Lahir?

tanda lahir

Di tangan kiri penulis, terdapat satu tanda yang berwarna sedikit gelap daripada warna kulit. Semasa kecil, penulis sering membuat contengan di sekitar tanda lahir ini dengan membayangkan bahawa tanda lahir ini adalah sebuah pulau. Penulis akan melukis sempadan ‘pulau’ ini dengan tambahan kapal-kapal yang berlayar mengelilingi ‘pulau’ penulis ini. Betapa indahnya imaginasi penulis walau sekadar terhadap tanda lahir.

Mungkin ramai yang pernah terfikir, bagaimanakah tanda ini boleh terbentuk. Apakah yang menyebabkan ia terbentuk dan adakah ia akan kekal sehingga kita melewati usia emas? Ketahuinya dengan lebih lanjut melalui apa yang penulis tuliskan di bawah.

Pelbagai faktor kewujudan

tanda lahir

Anda mungkin pernah mendengar pelbagai dakwaan atau mitos mengenai penyebab kepada wujudnya tanda ini. Perlu diingat, tanda ini bukan disebabkan oleh sebarang perkara yang dilakukan oleh ibu ketika hamil. Para pengkaji tidak begitu mengetahui mengapa sebahagian bayi mempunyai kewujudan tanda ini manakala sebahagian lagi tidak mempunyainya. Namun, terdapat beberapa pendapat mengenai penyebab kepada terbentuknya tanda ini.

  • Pembentukan sel-sel yang berlaku di sepanjang saluran-saluran darah bayi menyebabkan tanda ini wujud
  • Sesetengah doktor berpendapat bahawa cebisan kecil plasenta melekat pada embrio yang sedang berkembang pada awal kehamilan
  • Sebahagian penyelidik percaya bahawa sesetengah protein yang dihasilkan oleh plasenta semasa kehamilan juga berpotensi menyebabkan kewujudan tanda ini
  • Terdapat segelintir kecil bayi yang mendapat tanda ini disebabkan oleh mutasi gen

Jenis-jenis tanda lahir yang boleh berlaku

tanda lahir

Untuk pengetahuan semua, kebanyakan tanda yang wujud boleh dikategorikan kepada dua kategori:

  • Tanda lahir vaskular (saluran darah)

Ia terjadi sekiranya saluran darah di kawasan tertentu kulit tidak terbentuk dengan baik sepertimana sepatutnya. Contohnya, kemungkinan terdapat salur darah yang terlalu banyak yang berkumpul pada satu-satu kawasan atau salur darah yang lebih lebar berbanding saiz yang sepatutnya. Antara jenis tanda lahir vaskular ialah salmon patcheshemangiomas dan port-wine stains. 

  • Tanda lahir berpigmen

Ia terjadi apabila terdapat sel pigmen yang terlalu banyak pada sesetengah kawasan kulit. Sel pigmen adalah sel yang bertanggungjawab menjadikan warna semula jadi pada kulit kita. Contoh jenis tanda lahir berpigmen ialah moles atau tahi lalat, cafe au lait spots dan Mongolian blue spots

Bolehkah sekiranya saya mahu membuang tanda tersebut?

Sebenarnya, kewujudan tanda ini tidak membahayakan tubuh anda dan tidak memerlukan pembuangannya. Bagi sesetengah jenis tanda seperti moles dan hemangiomas, terdapat hanya sedikit kemungkinan risiko untuk mendapat masalah kesihatan lain seperti kanser kulit. Ia perlu diperhatikan oleh ahli dermatologi dan mungkin memerlukan pembuangannya. Antara teknik yang digunakan untuk membuang tanda lahir ialah terapi laserbeta-blocker (ubat makan), corticosteroids (ubat makan atau suntikan), dan pembedahan.

Memiliki tanda ini adalah satu ciri yang unik pada tubuh anda. Masing-masing mempunyai bentuk dan corak tanda lahir yang berbeza-beza. Kewujudan tanda ini juga mungkin adalah satu hikmah untuk anda. Sepertimana penulis yang kerap mengalami kesukaran untuk membezakan kiri dan kanan, tanda lahir pada tangan kiri ini amat membantu. Lihat sahaja pada tangan, jika ada tanda, ia bermaksud kiri. Kan senang.

Kredit: Hello Doktor

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Sebar Ilmu Ke Media Sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on telegram
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email