Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Mi Kuning Ada Asid Borik! Selamat Dimakan Atau Tidak?

Pernah dengar mengenai asid borik? Jika anda masih ingat, suatu ketika dahulu, banyak produk makanan seperti mi kuning dan bebola ikan akan mempunyai tulisan ‘Tanpa Asid Borik’ pada pembungkusnya. Apakah fungsi asid borik ini dalam makanan?

Persoalan yang paling penting, adakah ia akan menjejaskan tubuh badan kita apabila dikonsumsi? Jika anda ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut, ketahuinya melalui artikel ini.

mi asid borik

Apakah sebenarnya asid borik ini?

Asid borik adalah sebatian yang terbentuk secara semula jadi yang mengandungi elemen boron, oksigen dan hidrogen. Kristal asid ini berwarna putih, tidak mempunyai bau dan hampir tidak mempunyai sebarang rasa.

Ia kelihatan seperti garam biasa jika diproses dalam bentuk butiran atau kelihatan seperti bedak bayi jika diproses dalam bentuk serbuk. Asid ini digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis industri seperti kosmetik, farmaseutikal, pembuatan kaca dan gentian kaca dan juga pengawet kayu bagi mengelakkan serangan serangga dan kulat.

Ya, fungsinya yang pelbagai telah menyebabkan ia diguna pakai dalam keperluan banyak industri. Jika anda tidak tahu, ia juga merupakan antara bahan yang terdapat dalam racun serangga dan juga cecair pencuci pakaian.

Kewujudan asid borik secara semula jadi

Boron juga terhasil secara semula jadi dalam sumber makanan yang dikenali sebagai asid borik. Ia wujud dalam buah-buahan, sayuran berdaun, legum dan kekacang. Produk tenusu, ikan, daging dan juga bijirin turut mengandungi boron, tetapi jumlahnya amatlah sedikit.

Jangan anda bimbang kerana kandungan boron atau asid borik dalam jenis makanan ini adalah yang terbentuk secara semula jadi dan kuantitinya amat sedikit.

WHO telah menganggarkan bahawa purata pengambilan harian bagi populasi awam adalah sekitar 1.2 mg boron daripada sumber pemakanan. Ia masih berada pada kadar atau julat purata pengambilan yang selamat bagi individu dewasa iaitu antara 1.0 – 13 mg boron setiap hari seperti yang dicadangkan oleh WHO.

Adakah ia digunakan dalam industri makanan dan mengapa?

asid borik

Ya, ia pernah digunakan dalam industri makanan terutamanya dalam pembuatan mi kuning,  dan juga bebola ikan atau bebola makanan laut. Antara sebab mengapa asid borik ini digunakan adalah kerana fungsinya yang mampu memberikan kekenyalan pada tekstur produk makanan.

Bagi produk makanan yang tidak mempunyai kandungan atau ketumpatan protein yang tinggi, disinilah kehadiran asid ini memainkan peranan yang penting bagi mengenyalkan produk makanan tersebut.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai pengawet makanan. Asid ini sangat popular digunakan oleh peniaga ikan untuk mengekalkan kesegaran ikan atau makanan laut yang lain.

Menurut kajian yang pernah dilakukan pada tahun 2008 oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, asid borik telah ditemui dalam kesemua sampel makanan yang diuji iaitu mi kuning, bebola ikan, mi wantan dan kuey teow, dan kepekatan kandungannya berbeza mengikut jenis makanan. Mi kuning mencatatkan kandungan asid borik yang tertinggi berbanding sampel makanan lain.

Adakah ia selamat untuk dimakan?

Bermula pada awal tahun 1900, para saintis mula mempersoalkan keselamatan penggunaan asid borik dalam jumlah yang besar terhadap produk makanan.

Pada pertengahan tahun 1920-an, banyak negara telah mula melarang penggunaannya disebabkan oleh faktor ketoksikan.

Pada tahun 1961, Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA) telah menyimpulkan bahawa asid borik tidak sesuai untuk digunakan sebagai pengawet makanan.

Adakah ia dibenarkan untuk digunakan dalam produk makanan di Malaysia?

asid borik

Untuk pengetahuan anda semua, Peraturan Makanan 1985 hanya membenarkan penggunaan bahan pengawet tertentu dalam produk makanan. Bahan pengawet yang dibenarkan hanyalah sulfur dioksida, asid benzoik; asid propionik, termasuklah natrium, kalium, garam kalsiumnya; natrium nitrat, natrium nitrit, kalium nitrat dan potassium nitrit.

Begitu juga dengan jenis-jenis antimikrobial iaitu klorin dioksida dan hidrogen peroksida yang digunakan dalam produk makanan tertentu. Asid jenis ini tidak termasuk dalam senarai di atas, oleh itu ia tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai pengawet makanan.

Kesimpulan

Ketahuilah bahawa kewujudan asid borik dalam produk makanan adalah disebabkan oleh sikap penjual atau pengeluar produk yang tamak dan tidak beretika demi mengaut keuntungan semata-mata. Penjual atau pengeluar produk yang menggunakan asid ini dalam produk makanan ini sememangnya tidak memikirkan langsung soal keselamatan makanan yang akan dikonsumsi oleh pengguna.

Pada masa kini, penggunaan asid borik mungkin tidak lagi berlaku dalam skala yang besar. Walau bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati memandangkan manusia-manusia yang tidak beretika ini masih lagi mengintai peluang-peluang kecil untuk mengaut keuntungan berganda. Semak senarai bahan kandungan pada label produk terlebih dahulu sebagai langkah awal pencegahan.

Kredit: Hello Doktor

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain