Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Kenapa Kita TAKUT Dengan Makanan Berlemak?

Hipotesis Ancel Keys

Ini adalah kisah berkenaan dengan seorang ahli akademik yang telah menyebabkan kenaikan kadar obesiti, penyakit jantung dan membuatkan kita takut dengan makanan yang mengandungi lemak dan kolesterol

Ancel Keys merupakan seorang ahli fisiologi Amerika, yang mengkaji pengaruh makanan terhadap kesihatan individu secara menyeluruh. 

Beliau telah membuat hipotesis bahawa individu yang mengambil makanan yang mengandungi lemak tepu dan kolesterol berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular. 

Idea tersebut datangnya daripada penelitian dapatan kajian daripada 7 buah negara. Negara yang mempunyai kadar pengambilan lemak paling tinggi mempunyai kadar kematian daripada penyakit kardiovaskular paling ramai.

obesiti

Teorinya mudah difahami dan kelihatan logik pada sudut pandangan orang awam. Pengambilan makanan berlemak akan menyebabkan anda gemuk, kolesterol anda akan naik dan akhirnya anda akan mendapat penyakit jantung. 

Hipotesis beliau telah diterima oleh pelbagai pertubuhan terkemuka di Amerika seperti United States Department of Agriculture (USDA), Persatuan Perubatan Amerika, Persatuan Diabetes Amerika dan Persatuan Jantung Amerika. 

Ini telah mewujudkan kempen pemakanan rendah lemak yang bertujuan untuk menghindari makanan tersebut bagi menjaga kesihatan awam.

Namun, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Ancel mempunyai 22 data dan jika kesemua data diletakkan di dalam satu graf, ia tidak menunjukkan apa-apa korelasi. Ia umpama Ancel memilih data yang menyokong hipotesis beliau. 

Namun ini merupakan topik yang sering menjadi perdebatan di antara saintis. Ada yang mengatakan perkara tersebut hanyalah mitos dan ada yang percaya Ancel berbuat sedemikian kerana beliau ingin membuktikan bahawa gula bukan penyebab kepada penyakit kardiovaskular. 

Walau bagaimanapun, dalam hipotesis tersebut, Ancel tidak menyebut perihal: 

  • Negara yang mempunyai pengambilan lemak yang tinggi tetapi insiden penyakit jantung yang rendah (seperti Holland dan Norway) 
  • Negara yang mempunyai pengambilan lemak yang rendah tetapi kadar penyakit jantungnya tinggi (seperti Chile)

Gula masalah utama? Hipotesis John Yudkin yang diketepikan

gula

Pada tahun 1972, John Yudkin telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk Pure, White and Deadly. Buku ini berkisarkan masalah kesihatan yang akan timbul seperti obesiti, masalah hati, masalah jantung, diabetes dan karies gigi, sekiranya gula diambil secara berlebihan. 

Ia mendapat tentangan hebat daripada pengeluar makanan berproses dan industri gula kerana buku tersebut memberi amaran terhadap kemudaratan produk yang dikeluarkan oleh mereka. 



Tajuk terakhir buku tersebut juga ada menceritakan usaha untuk menyekat kajian beliau daripada diterbitkan untuk bacaan khalayak umum.

Ancel merupakan salah seorang individu yang menentang hipotesis yang dikeluarkan oleh Yudkin. Katanya, Yudkin tidak mempunyai teori asas berkenaan dengan etiologi penyakit kardiovaskular. 

Walau bagaimanapun teori ini masih mendapat sambutan dan sokongan dalam kalangan segelintir individu. Namun begitu, sokongan terhadapnya masih tidak mencukupi bagi menentang gerakan pro-gula. 

Nasib si penentang gula

Sepanjang hayat Yudkin, disebabkan oleh reputasinya dalam menentang pergerakan pro-gula, beliau telah diasingkan daripada komuniti sains. 

konferens

Beliau tidak dijemput ke mana-mana konferens kebangsaan, segala program yang dianjurkan oleh beliau dibatalkan pada saat akhir dan kertas kajian menentang gula tidak mendapat penerbitan oleh mana-mana platform jurnal. 

Sehingga saat kematian Yudkin pada tahun 1995, teori beliau tidak dipandang serius.

Pada tahun 2009, seorang pakar kanak-kanak Dr Robert Lustig telah menerbitkan video 90 minit yang berjudul Sugar: the Bitter Truth. Lustig menyokong hipotesis yang dibuat oleh Yudkin dan kini buku beliau telah dianggap sangat berharga oleh komuniti saintifik. 

Video Lustig mendapat sambutan hangat melebihi 4 juta individu pada fasa permulaan. Ini mewujudkan gerakan antigula bagi menghindarkan masalah obesiti dan penyakit kronik yang lain. 

Yudkin telah mati lebih dari sedekad dan pada tahun tersebut, barulah kita sedar akan ketelusan amaran yang dikeluarkan olehnya tanpa memikirkan layanan yang bakal diterima.

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda.  3 Minit Je adalah salah satu platform yang bernaung di bawah Naize Media.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain