3 Haiwan Ini Boleh Tidur Sebelah Badan! Menakjubkan!

tidur sebelah badan

Tahukah anda, terdapat haiwan di luar sana yang boleh tidur sebelah badan. Apa yang berlaku pada sebelah lagi?

Ia berjaga bagi memastikan persekitaran tempat tidur selamat daripada ancaman haiwan pemangsa.

Perkara ini merupakan satu kebolehan yang boleh dianggap penting bagi memastikan keadaan tenang dan tidak berbahaya. 

Tidur merupakan salah satu perkara penting bagi setiap hidupan termasuklah manusia.

Kajian telah menunjukkan bahawa jika durasi tidur berkurangan daripada masa ke semasa, jangka hayat hidupan turut akan menjadi pendek.

Manusia sebagai contoh. Mereka yang tidur mengikut mengikut saranan pakar selepas tempoh pembelajaran mempunyai keupayaan 2.5 kali ganda lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah kompleks.

Perkara ini jelas menunjukkan keupayaan tidur untuk mengawal atur fungsi otak dan seterusnya proses fisiologi badan secara menyeluruh.

Dalam dunia haiwan, terdapat binatang yang menggunakan pendekatan tidur sebelah badan untuk elak daripada buruan haiwan pemangsa dan dalam masa yang sama menikmati kebaikan psikologi tidur.

Berikut merupakan 3 haiwan yang boleh tidur sebelah badan.

Itik mallard boleh tidur sebelah badan? Hebat!

haiwan

Terdapat beberapa spesies burung yang menggunakan pendekatan tidur sebelah badan bagi tujuan sosial, keselamatan dan untuk menjimatkan tenaga.

Dalam satu artikel yang telah diterbitkan di laman jurnal terkemuka, Nature, ahli akademik telah menemui satu kebolehan yang menakjubkan.

Itik mallard mempunyai kebolehan untuk menyahaktifkan mana-mana otak sementara tidur di kawasan berbahaya.

Sebelah badan yang berjaga akan memantau persekitaran sementara sebelah lagi nyenyak dibuai mimpi.

Jika haiwan pemangsa menyergah, ia boleh cepat-cepat bangun dan lari.

Berbeza dengan manusia, itik mallard tidur lebih lama apabila mereka lanjut usia. 

Manusia mempunyai masa tidur yang pendek berikutan penghasilan hormon melatonin yang berkurangan apabila usia meningkat.

Ikan lumba-lumba, makhluk mamalia riang dengan gaya tidur unik

tidur sebelah badan

Mungkin ramai yang meminati ikan lumba-lumba. Biasalah, rupanya yang comel dan tingkah lakunya yang seakan-akan mesra.

Perkara yang mungkin anda tidak tahu berkenaan dengan mamalia ini adalah ia boleh tidur sebelah badan.

Pelik tapi benar. Apa yang lebih menakjubkan adalah hemisfera otak yang berjaga mampu menghantar maklumat kepada hemisfera otak yang tidur.

Ini bermakna, jika mereka berkenalan dengan ikan lumba-lumba lain ketika hemisfera kiri sedang tidur, ia masih boleh mengenali ikan tersebut apabila kiri berjaga dan kanan pula tidur.

Hebat kan?

Walau bagaimanapun, keupayaan tidur sebelah badan bagi ikan lumba-lumba bukan hanya untuk membantu mereka mencapai interaksi sosial yang lebih baik.

Seperti mamalia yang lain, ikan lumba-lumba juga bernafas menggunakan paru-paru.

Ini bermakna, secara berkala, ia perlu timbul di permukaan lautan untuk mengambil oksigen.

Jika dilihat pada  struktur anatomi paru-paru haiwan ini, ia dikelilingi oleh otot yang tertutup sewaktu ikan lumba-lumba berada di dasar lautan.

Ia bagi menghalang kemasukan air ke dalam paru-paru, membolehkan mereka untuk hidup di dalam air.

Jika mereka tidur seperti biasa, mereka boleh mati kelemasan memandangkan mereka tiada insang seperti ikan yang lain. 

Setakat ini, walaupun tingkah laku tidur ikan lumba-lumba mendedahkan mereka kepada masalah tidak cukup tidur, tiada kesan negatif yang dapat dilihat melalui rutin tersebut.

Buaya, binatang yang sukar untuk dijangka

tidur sebelah badan

Kebanyakan haiwan yang mempunyai keupayaan untuk tidur sebelah badan adalah mangsa. 

Berbeza dengan fakta tersebut, haiwan pemangsa seperti buaya turut mempunyai kebolehan untuk tidur sebelah badan.

Apa yang lebih menggerunkan, dalam kajian yang diterbitkan pada tahun 2015, buaya yang dikaji meninjau setiap manusia yang terlibat menggunakan mata yang berjaga.

Jika semua pengkaji meninggalkan bilik kajian tersebut, matanya akan kekal merenung pintu keluar tersebut.

Ini bermakna, mereka tidur sebelah badan untuk mengelakkan makhluk pemangsa atau mencari mangsa buruan.

Dalam konteks kajian tersebut, manusia, boleh dianggap sebagai pemangsa atau mangsa.

Selain daripada itu, mereka juga tidur sebelah badan sekiranya mempunyai anak yang tidur atau berkeliaran di satu lokasi.

Tak sangka makhluk prasejarah ini mampu untuk berbuat demikian!

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda.  3 Minit Je adalah salah satu platform yang bernaung di bawah Naize Media.

Sebar Ilmu Ke Media Sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on telegram
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email