Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Paus Pembunuh, Adakah Patut Ia Dikurung Di Dalam ‘Lautan’ Ciptaan Manusia?

pertunjukan paus

Berbeza dengan haiwan pemburu yang lain, ikan paus pembunuh (killer whale) atau orca merupakan haiwan pemangsa paling comel di dunia. Ia berasal daripada keluarga ikan lumba-lumba dan merupakan makhluk terbesar dalam keluarga tersebut. Pasti anda tertanya-tanya.

“Mengapa namanya paus pembunuh sekiranya ia merupakan ikan yang bukan berasal daripada keluarga ikan paus?”

Suatu ketika dahulu, pelayar memberikan gelaran pembunuh paus kepada makhluk orca ini berdasarkan kepada pemerhatian mereka terhadap aktiviti buruannya. Ia gemar memburu ikan paus yang jauh lebih besar daripadanya namun pada waktu itu, tiada siapa yang cukup memahami akan tabiat pemakanan sebenar makhluk ini.

Apabila generasi berubah, panggilan pembunuh paus bertukar menjadi paus pembunuh memandangkan ia lebih mudah dan elegan. Hakikatnya, selain daripada ikan paus, paus pembunuh turut memburu haiwan lain seperti ikan, singa laut, ikan pari, ikan jerung dan sotong. 

Walaupun dietnya kelihatan bervariasi, ikan paus pembunuh agak memilih makanan yang diambilnya. Jika ia sudah biasa mengambil ikan jerung sebagai santapan utama, maka haiwan tersebutlah yang akan menjadi sasaran utamanya.

Paus pembunuh makan manusia?

paus pembunuh

Jika anda sedar, cara ikan paus pembunuh mendekati mangsa hampir sama dengan gaya buruan ikan jerung. Paus pembunuh merupakan salah satu daripada haiwan yang digelar sebagai pemangsa apeks (apex predator) di laut.

Ini bermakna dalam rantaian makanan, tiada haiwan yang memburu mereka untuk dijadikan sebagai sumber makanan. Bayangkan, anda sedang mandi di laut dan tiba-tiba terdapat sirip yang timbul berenang mendekati anda. Jika sirip itu milik paus pembunuh, adakah anda dalam bahaya? Adakah paus pembunuh makan manusia?

Tiada rekod saintifik yang menunjukkan bahawa ikan paus pembunuh menyerang manusia secara sengaja. Mereka mempunyai pilihan makanan yang sangat spesifik dan seperti yang penulis sebutkan, agak memilih. Malah terdapat juga kisah yang pernah tular berkenaan dengan seorang pemuda yang diselamatkan oleh paus pembunuh sewaktu dia diserang oleh ikan jerung. 

Pada tahun 2014, pernah seorang penyelam New Zealand yang ditarik oleh paus pembunuh ketika beliau sedang mengutip landak laut dan udang. Walaupun ia nampak seperti serangan dan penyelam tersebut beralah sewaktu ‘diserang’, sejurus selepas itu, beliau dapat meloloskan diri dan tiada kecederaan telah dilaporkan.

Ahli akademik berpendapat bahawa ia merupakan satu tindakan yang tidak bersifat serangan. Ia umpama makhluk tersebut mahu mengambil beg oksigen milik penyelam tersebut dan perkara ini pernah berlaku beberapa kali pada penyelam lain.

Seperti ikan jerung, gigitan yang berlaku terhadap manusia kebiasaannya bersifat tidak sengaja. Manusia kelihatan seperti singa laut yang sedang berenang dan apabila mereka merasai daging manusia, mereka cepat-cepat beralih perhatian. 

Orka tidak sepatutnya dikurung

paus pembunuh

Mungkin anda pernah menyaksikan persembahan hidupan laut yang melibatkan ikan paus pembunuh yang melompat di sana sini. Mereka disimpan dalam satu persekitaran (atau lautan) yang dicipta oleh manusia.

Namun, adakah perkara ini memberikan kebaikan kepada mereka dari sudut fizikal, mental dan sosial? Pada tahun 2010, pernah berlaku kes di mana ikan paus pembunuh menarik pelatih persembahan ke dalam air dan lemas.

Tindakan pelik ini dianggap berpunca daripada tahap stres yang tinggi terhadap lautan palsu yang digunakan untuk memerangkap mereka. Ikan paus pembunuh tidak sepatutnya dikurung dalam lautan ciptaan manusia. Mereka terlalu besar dan terlalu aktif bergerak ke sana ke mari ingin meneroka lautan yang dianggap luas.

Bayangkan, bagi orka yang hidup dalam lautan semula jadi, mereka boleh bergerak sejauh 10,000 km tanpa henti selama 42 hari. Manusia tidak boleh menyediakan akuarium yang sebegitu luas untuk memenuhi keperluan mereka yang suka mengembara.

Tambahan pula, paus pembunuh yang hidup bersama manusia mempunyai jangka hayat yang pendek berbanding dengan paus pembunuh di lautan. Beza di antara kedua-duanya adalah selama 6.7 tahun!

Paus pembunuh merupakan makhluk yang agak gemar bersosial. Mereka mempunyai struktur kumpulan yang kompleks dan setiap kumpulan orka mempunyai cara berkomunikasi, paten memburu dan tindak tanduk yang berbeza.

Jika anda sangka tindakan meletakkan dua orka dalam satu akuarium boleh memenuhi keperluan sosial mereka, anda silap! Paus pembunuh perlu dibiarkan berenang bebas di laut dan tiada satu fakta pun yang boleh menidakkan penyataan tersebut.

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain