Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Kucing Comel Ini Merupakan Pemburu Paling Cekap Di Dunia

Jika penulis menggunakan frasa “spesies kucing paling berbahaya di dunia”, apa yang akan bermain di fikiran anda sekarang?

Mungkin anda terfikirkan harimau jaguar, harimau belang atau singa. 

Namun jika dilihat pada keupayaan spesies kucing untuk memburu, ketiga-tiga kucing yang disebutkan tidak dapat menandingi kehebatan kucing kaki hitam (black-footed cat).

Ia boleh dijumpai di Afrika Selatan dan kelihatan seperti kucing domestik (kucing yang dipelihara di rumah).

Saiznya tidaklah sebesar singa, ia tidak nampak garang seperti harimau dan kelajuannya tidak  setanding harimau bintang.

Namun, ia merupakan haiwan pemangsa yang cerdik.

Jika anda pernah menonton video dokumentari haiwan ini, sudah tentu anda tahu bukan mudah untuk merakam tatkala ia beraksi.

Saiznya yang kecil, pergerakan lincah dan sifatnya yang aktif pada waktu malam membuatkan jurukamera tercari-cari, di manakah gerangan kucing kaki hitam.

Kucing kaki hitam, pembunuh sebenar dalam keluarga kucing

spesies kucing
Gambar oleh Jonathan Kriz – Wikimedia (CC BY 2.0)

Apabila kita berbicara mengenai kehebatan kucing kaki hitam, sudah tentu kita akan sampai kepada topik buruan.

Oleh sebab ia mempunyai kadar metabolisme badan yang sangat laju, ia tidak boleh berhenti berburu.

Rakaman bagi mengetahui strategi buruan oleh kucing ini perlu menggunakan kamera khas bagi mengesan pergerakannya pada waktu malam.

Secara umumnya, terdapat tiga teknik lazim yang sering diguna pakai oleh spesies kucing ini.

  1. Teknik buruan tangkas. Anda tentu boleh bayangkan bagaimana kucing ini menyorok di sebalik semak dan menangkap mangsanya dengan cepat. Teknik ini merupakan kaedah buruan utama bagi spesies kucing ini.
  2. Teknik serang belakang. Berjalan perlahan-lahan menuju ke habitatnya, kucing ini boleh menyelinap di belakang mangsa dan menangkapnya dengan serta merta. 
  3. Teknik serang hendap. Kaedah buruan ini turut dikenali sebagai teknik buruan statik. Mereka akan duduk dan tunggu mangsa untuk menghampiri dan menangkap mereka. Kucing kaki hitam berupaya untuk menunggu selama 2 jam tanpa sebarang pergerakan ketika memburu mangsa. 

Dengan tiga teknik tersebut, mereka dapat menangkap banyak haiwan mangsa. Setiap malam, mereka berupaya untuk membawa pulang 10 hingga 14 mangsa.

Kadar kejayaan buruannya boleh mencecah 60%.

Angka tersebut adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan kadar kejayaan teknik buruan singa.

Spesies kucing yang terancam 

spesies kucing
Gambar Oleh Charles Barilleaux- Flickr (CC BY 2.0)

Kehebatan kucing ini memang diketahui oleh penduduk tempatan.

Namun, kini, spesies kucing kaki hitam terancam dek kepupusan berikutan aktiviti manusia yang menyebabkan kemusnahan pada habitatnya.

Jika dilihat pada ukuran saiz kucing kaki hitam, memanglah seperti tidak menakjubkan.

Panjangnya antara 36cm hingga 52cm, tingginya 20cm dan beratnya di antara 1kg hingga 3kg.

Namun, jika dibandingkan dengan spesies kucing yang lain, kucing kaki hitam merupakan ahli yang paling buas.

Jangan terpedaya dengan rupanya yang comel. Ia merupakan pemburu tegar yang tidak akan berhenti dengan hanya satu buruan.

Nota tambahan: Gambar utama diambil oleh Jonathan Kriz – Flickr (CC BY 2.0)

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda.  3 Minit Je adalah salah satu platform yang bernaung di bawah Naize Media.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain