Kes COVID-19 Di US Semakin Parah, Adakah Joe Biden Bakal Jadi Hero?

kes covid

Kita sudah berada di penghujung tahun 2020. Namun jangkitan virus korona baharu (COVID-19) tidak menunjukkan sebarang tanda ia semakin pulih, malah semakin teruk.

Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dikuatkuasakan di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali di 3 buah negeri, Kelantan, Pahang dan Perlis.

Kes harian juga sudah menunjukkan peningkatan mendadak sehingga jumlah diagnosis baharu dibuat melebihi 1000 kes baharu selama 5 hari berturut-turut.

Situasi yang lebih teruk boleh dilihat di Amerika Syarikat (USA/US) apabila jumlah kes baharu COVID-19 harian mereka telah melebihi angka 120,000.

Mereka masih memegang rekod dunia dengan jumlah diagnosis baharu terbanyak.

Namun ramai yang masih alpa dan bersorak kegembiraan tatkala pilihan raya mereka dimenangi oleh Senator Joe Biden yang merupakan perwakilan daripada parti Demokrat.

Walau bagaimanapun, kemenangan tersebut dilihat sebagai satu petanda baik buat saintis di negara tersebut.

Ia berikutan US mempunyai peluang untuk memperbaiki polisi kesihatan negara yang dianggap bersifat anti-sains di bawah naungan Presiden Donald Trump.

Biden perlu bekerja keras memperkukuhkan institusi sains negara

kes covid
Gambar oleh Gage Skidmore – Wikimedia (CC BY-SA 2.0)

Walaupun Joe Biden telah memenangi undian tertinggi mengalahkan Donald Trump, hampir setengah daripada populasi layak undi negara masih menyokong polisi Trump yang dilihat sebagai anti sains.

Beliau juga perlu bekerja keras apabila memegang tampuk kepimpinan Januari tahun hadapan untuk mengharungi krisis COVID-19 yang dilihat semakin teruk.

Tekad Biden jelas terpampang pada kesungguhannya hendak menubuhkan pasukan petugas khas Isnin ini walaupun beliau belum secara rasminya bergelar Presiden.

Situasi ini menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh rakyat US dan mereka perlu mengambil tindakan sepantas mungkin untuk memastikan kadar jangkitan dapat dikawal.

Setakat 6 November 2020, jumlah kematian harian akibat virus korona baharu di US kekal pada 4 angka, membuatkan jumlah kematian sepanjang masa menghampiri 250,000 kematian.

Pasukan petugas khas yang bakal ditubuhkan akan dipengerusikan oleh Biden bersama dengan beberapa figura penting seperti:

  1. Vivek Murthy, Bekas Pakar Bedah Am.
  2. David Kessler, Bekas Pesuruhjaya Pentadbiran Dadah dan Makanan.
  3. Dr Marcella Nunez-Smith (Universiti Yale)

Susun prioriti mengikut keperluan semasa, kes COVID-19 perlu dibendung

jangkitan virus

Seperti perlaksanaan PKPB di Malaysia, pendekatan yang bakal diambil oleh Biden untuk membendung jangkitan virus adalah bersifat agresif.

Presiden Trump pernah menakut-nakutkan rakyat Amerika dengan menggunakan sentimen lockdown jika Biden memenangi pilihan raya.

Hujah yang pernah digunakan olehnya semasa perdebatan dengan Biden adalah, 99% (tiada rujukan dinyatakan) golongan muda akan sembuh dengan sendirinya dan tidak terancam dek COVID-19.

Oleh sebab itulah Trump berpendapat bahawa langkah lockdown adalah langkah yang boleh meranapkan ekonomi negara.

Namun, situasi yang dialami oleh negara Asia agak berbeza dengan logik monyet yang cuba diusulkan Trump.

Memang benar, majoriti golongan muda tidak terancam dengan virus korona baharu.

Pun begitu, mereka boleh menyebarkan virus tersebut tanpa sedar menyebabkan sebilangan golongan berisiko tinggi terancam dek jangkitan tersebut.

Jika kawalan tidak dibuat di kawasan yang mengalami kadar penyebaran tinggi, kadar jangkitan kes COVID-19 yang semakin parah boleh mempengaruhi tahap produktiviti, seterusnya keberangsangan ekonomi negara.

Pengikut Trump juga dilihat tidak memakai topeng muka (majoriti) semasa beliau sedang menyampaikan ucapan di Iowa.

Mungkin bagi mereka angka 100,000 itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan populasi Amerika yang berjumlah 300 juta lebih.

Walau bagaimanapun, tindakan Presiden tersebut sudah lama dilihat sebagai tidak wajar dan gagal dalam membendung pandemik.

Mungkin sudah tiba masanya rakyat Amerika memilih Presiden yang lebih baik (harapnya).

Gambar utama oleh Gage Skidmore – Wikimedia (CC BY-SA 2.0)

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda.  3 Minit Je adalah salah satu platform yang bernaung di bawah Naize Media.

Sebar Ilmu Ke Media Sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on telegram
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email