Siri Negara Kepulauan: 95% Bahagian Pulau Negara Antigua & Barbuda Pernah Musnah Akibat Taufan Irma

antigua dan barbuda

Negara Antigua dan Barbuda adalah sebuah negara yang terdiri daripada 2 buah pulau besar atau pulau utama dan 7 buah pulau kecil. Dahulunya ia dijajah oleh British dan kini ia merupakan salah satu anggota negara-negara Komanwel.

Ingin tahu apa yang istimewa mengenai negara ini? Ikutinya dengan lebih lanjut di sini.

#1. ‘Purba’ dan ‘berjanggut’?

Tahukah anda, nama Antigua dan Barbuda ini berasal daripada terma bahasa Sepanyol? Nama Antigua diberikan oleh pelayar terkenal Christopher Columbus yang bermaksud ‘purba’. Nama Barbuda pula membawa maksud ‘berjanggut’. 

Punca kedua-dua nama ini diberikan masih kekal misteri dan tiada jawapan sehingga kini. Ada yang mengatakan, ia diberikan sempena penduduk asal lelaki pulau ini.

Ada pula yang menyatakan bahawa ia disebabkan oleh pohon tin berjanggut yang tumbuh di pulau ini.

#2. Antigua dan Barbuda pernah menjadi lokasi panas bagi perhambaan

Sewaktu penjajah Britisih menapak di pulau ini, mereka membawa bersama hamba-hamba mereka yang berasal dari Afrika Barat untuk bekerja dalam industri gula dan tembakau.

Namun, hamba-hamba ini dilayan dengan sangat teruk sehingga mencetuskan pemberontakan beberapa kali pada tahun 1701, 1729 dan juga 1736. Perhambaan ini kemudiannya dihapuskan pada tahun 1834. 

#3. Mempunyai beberapa sekolah perubatan luar pesisir

antigua dan barbuda

Terdapat beberapa buah sekolah dan universiti perubatan terkenal ditubuhkan di negara kepulauan ini untuk mereka yang ingin berkhidmat di Amerika Syarikat mahupun Kanada.

Kewujudan sekolah-sekolah perubatan di negara ini adalah disebabkan oleh kemudahan untuk menubuhkannya.

Terdapat 3 buah sekolah perubatan di negara ini iaitu American University of Antigua, Metropolitan University College of Medicine dan University of Health Sciences – Antigua School of Medicine. 

#4. 95% bahagian Barbuda musnah akibat Taufan Irma

Pada bulan September 2017, Barbuda menjadi salah sebuah pulau yang terjejas teruk diserang Taufan Irma sehingga memusnahkan 95% bahagian pulau tersebut.

Jumlah kerugian dianggarkan sekitar 136 juta Dolar. Kesemua 1,800 penduduk pulau Barbuda kemudiannya dipindahkan ke pulau Antigua.

Namun, walaupun hampir keseluruhan pulau ini diserang teruk oleh taufan, angka korban hanya berjumlah 3 kematian sahaja.

Ini disebabkan oleh penduduk di pulau ini yang sentiasa bersedia dengan kehadiran taufan dengan melindungi diri mereka di dalam tempat perlindungan khas. 

#5. Antigua dan Barbuda merupakan antara destinasi utama pelancongan dunia

antigua dan barbuda

Berdasarkan data daripada World Tourism Organization, seramai 269 juta pelancing telah melancong ke negara ini pada tahun 2018 sahaja.

Sektor pelancongan menyumbang lebih daripada separuh kepada KDNK negara ini. Antara tarikan utama di negara ini ialah pesisir pantainya yang amat memukau mata memandang. 

Kesimpulan

Antigua dan Barbuda disyorkan sebagai salah satu negara kepulauan di Laut Caribbean yang patut dikunjungi. Ini disebabkan oleh faktor kecantikan negara serta sejarahnya yang tersendiri. 

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda.  3 Minit Je adalah salah satu platform yang bernaung di bawah Naize Media.

Sebar Ilmu Ke Media Sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on telegram
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email