Auschwitz: Kem Kematian Yang MENGERIKAN Tinggalan Pihak Jerman

Auschwitz

Kekejaman pihak Nazi sewaktu Perang Dunia Kedua sememangnya tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak. Apatah lagi, kita sendiri mengetahui berkenaan layanan teruk yang diterima oleh kaum Yahudi sewaktu pemerintahan Nazi. Antara kesan pemerintahan kuku besi terhadap kaum Yahudi oleh Nazi ialah melalui kewujudan Auschwitz, yang juga dikenali sebagai Auschwitz-Birkenau.

Apakah sebenarnya Auschwitz ini?

Kem tahanan Nazi di Poland

Pada tahun 1940, pihak Nazi telah membuka satu kem tahanan dan kematian khusus untuk kaum Yahudi yang terletak di selatan Negara Poland. Pada awal penubuhannya, ia berfungsi sebagai pusat tahanan untuk tahanan politik. 

Walau bagaimanapun, ia kemudiannya ditukarkan menjadi satu kem khusus bagi tahanan kaum Yahudi dan musuh Nazi sebelum mereka dibunuh melalui penggunaan gas beracun atau dijadikan buruh paksa. Selain itu, tahanan juga dijadikan sebagai subjek eksperimen perubatan yang tidak berperikemanusiaan.

Di kem ini, lebih daripada 1 juta manusia telah menemui maut. Pada bulan Januari 1945 saat tentera Soviet hampir tiba ke lokasi ini, pihak Nazi telah mengarahkan penutupannya dan mengarahkan penghantaran 60,000 tahanan ke kem-kem di lokasi lain. Apabila pihak Soviet telah sampai di Auschwitz, mereka menemui ribuan tahanan yang berada dalam keadaan kurus kering dan timbunan mayat yang ditinggalkan.

Auschwitz: Kem kematian terbesar

Auschwitz, Jerman

Tidak dinafikan, Auschwitz ini merupakan sebuah kem yang paling terkenal dan terbesar berbanding semua kem-kem lain milik Nazi. Sebelum digunakan sebagai kem kematian khusus untuk tahanan Yahudi, ia pernah digunakan sebagai pusat tahanan bagi warganegara Poland yang ditahan setelah Jerman menakluk Poland pada tahun 1939.

Antara tahanan yang ditahan termasuklah aktivis anti-Nazi, ahli politik, dan ahli komuniti saintifik dan kebudayaan yang menentang Nazi. Setelah Final Solution arahan Hitler menjadi dasar rasmi pihak Nazi, kem Auschwitz kemudiannya dijadikan kem kematian yang paling sesuai. Ini disebabkan oleh kedudukannya yang berada berdekatan pusat semua negara yang diduduki pihak Jerman.

Selain itu, ia juga berdekatan dengan laluan kereta api yang digunakan sebagai pengangkutan bagi mengangkut tahanan dari dan ke kem-kem Nazi yang lain. Walaupun Auschwitz sinonim dikenali sebagai sebuah kem kematian, tidak semua tahanan yang dihantar ke sana akan dihukum mati. Mereka yang berkeupayaan akan dijadikan sebagai buruh paksa di kilang-kilang senjata, getah sintetik dan juga mana-mana produk untuk kegunaan tentera Jerman. 

Bathhouse’ yang mengerikan

Walaupun namanya bathhouse, ia bukanlah rumah mandian seperti yang anda sangka. Di sinilah lokasi di mana individu yang ingin dibunuh akan ditamatkan riwayat mereka. 

Sebaik tahanan baharu sampai di Auschwitz, mereka akan diperiksa oleh doktor untuk menentukan sama ada mereka sesuai untuk bekerja atau tidak. Mereka yang tidak sesuai untuk bekerja ialah kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan mereka yang lemah. Bagi kumpulan yang tidak mampu untuk bekerja seperti ini, mereka akan segera disuruh ke bathhouse untuk mandi. 

Malangnya, pemergian mereka ke bathhouse tersebut bukanlah bertujuan untuk mandi. Bathhouse tersebut merupakan satu ruangan gas yang bertujuan untuk menamatkan riwayat mereka dengan cara didedahkan dengan gas beracun Zyklon-B. 

Mereka yang dibunuh ini sebenarnya tidak didaftarkan sebagai tahanan di kem ini secara rasmi. Oleh sebab itu, amat sukar untuk menentukan jumlah sebenar mereka yang telah menemui maut di kem ini.

Tahanan dijadikan bahan eksperiman perubatan yang menakutkan

Terdapat sebahagian daripada tahanan ini dijadikan sebagai bahan eksperimen perubatan oleh Josef Mengele, seorang ahli perubatan Jerman yang mula berkhidmat di kem ini sejak tahun 1943. Mengele yang turut dikenali sebagai “Angel of Death”, telah melakukan pelbagai eksperimen yang mengerikan sepanjang perkhidmatannya di sana.

Salah satunya, dia pernah menyuntik serum kedalam bebola mata ratusan kanak-kanak ketika dia mengkaji mengenai warna mata. Mengele juga pernah menyuntik kloroform kedalam jantung pasangan kembar bagi mengetahui sekiranya mereka mati pada waktu dan cara yang sama.

Auschwitz kini

Auschwitz

Kem Auschwitz ini masih wujud sehingga kini dan ia telah dibuka kepada orang awam sebagai Auschwitz-Birkenau Memorial and Museum. Ia juga bertindak sebagai peringatan kepada kejadian pembunuhan besar-besaran yang menakutkan akibat daripada perperangan.

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Sebar Ilmu Ke Media Sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on telegram
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email