Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Bunker Rahsia Winston Churchill Di Bawah Kota London

Winston Churchill, bekas Perdana Menteri Britain adalah seorang individu yang sangat terkenal disebabkan oleh peranan yang dimainkannya ketika Britain turut sama terlibat dalam kempen Perang Dunia Kedua. 

Ramai yang tidak mengetahui, arahan daripada Churchill semasa era Perang Dunia Kedua ini telah menyebabkan terbinanya jaringan bunker bawah tanah rahsia yang berada di bawah kota London.

Apa yang menarik mengenai bunker rahsia Churchill ini?

winston churchill

Semasa Perang Dunia Kedua, pihak Jerman merancang untuk melakukan pengeboman yang dahsyat ke atas bandar-bandar dan pekan di seluruh United Kingdom. Perdana Menteri Britain pada ketika itu, Winston Churchill mengarahkan pembinaan lebih banyak bunker sebagai tambahan daripada bunker sedia ada yang pernah digunakan semasa Perang Dunia Pertama.

Apakah fungsi bunker-bunker ini? Ia digunakan dengan pelbagai tujuan dan fungsi. Selain  menjadi tempat perlindungan bagi orang awam berlindung, ia juga digunakan sebagai tempat simpanan senjata, pusat arahan dan kawalan kerajaan dan pusat simpanan bagi seluruh United kingdom.

Walaupun terdapat banyak bunker yang dibina, bunker yang paling penting adalah yang dibina di sekitar London Underground, iaitu rangkaian metro bawah tanah yang berada di kota London. Ini kerana terdapat terowong rahsia yang dibina bersambungan dengan sambungan metro dan bangunan-bangunan kerajaan yang penting.

Bunker rahsia yang bukan lagi rahsia

winston churchill

Kini, bunker-bunker ini bukan lagi satu rahsia. Sebagai contoh, Churchill War Room yang berada di bawah bangunan Perbendaharaan UK di Westminster telah ditukar fungsinya menjadi sebuah muzium dan dibuka kepada umum sejak tahun 1984. Bilik ini pernah digunakan sebagai pejabat Winston Churchill sewaktu Perang Dunia Kedua meletus.

Cabinet War Room pula telah dibina pada tahun 1930 dan menjadi ibu pejabat kerajaan UK beberapa hari selepas Perang Dunia Kedua tercetus. Di sini, Churchill mempunyai bilik tidurnya sendiri dan dikawal oleh penjaga sepanjang masa. 

Ada bunker Winston Churchill masih kekal rahsia!

Tetapi, terdapat juga sebahagian daripada bunker-bunker ini yang masih kekal menjadi bunker-bunker rahsia. Ini termasuklah satu kawasan yang diberi kod nama ‘Pindar’, satu kawasan yang berada di bawah Kementerian Pertahanan UK.

Ada yang mengatakan, ‘Pindar’ ini akan dijadikan sebagai bilik perang zaman moden sekiranya Perang Dunia Ketiga berlaku. Ia dikatakan bersambung dengan pejabat Perdana Menteri UK di Downing Street dan Pejabat Kabinet melalui terowong-terowong rahsia bawah tanah.

Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis bunker lain dengan pelbagai kegunaan dan fungsi. Setiap satu bunker ini diberikan dengan nama atau kod tertentu seperti Oxgate Admiralty Citadel dan Q-Whitehall Tunnel.

Kesan dan strategi peperangan

Memandangkan pihak Jerman bertindak untuk mengebom bandar-bandar dan pekan-pekan di seluruh Britain, maka kewujudan bunker ini amat penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran serta arahan dan kawalan kepada pihak tentera British.

Akibat daripada strategi Jerman ini juga, ramai kanak-kanak yang tinggal di bandar-bandar terutamanya di London, dihantar ke seluruh kawasan pedalaman dan juga desa bagi menyelamatkan nyawa mereka. Jika anda pernah menonton filem Narnia yang pertama, terdapat satu adegan pada permulaan filem di mana Peter, Susan, Edmund dan Lucy dihantar ke kawasan luar bandar dengan menaiki kereta api bagi menyelamatkan diri. Begitulah suasana perang pada ketika itu yang ternyata amat sukar untuk semua pihak.

Lawatan bersejarah yang menarik

Kini, anda boleh melawat Churchill War Room ini kerana ia telah dijadikan muzium bagi lawatan orang awam. Anda juga boleh melawat satu stesen metro (Stesen Down Street) yang dahulunya pernah wujud, tetapi kini telah ditinggalkan dan tidak digunakan. Stesen Down Street telah ditutup penggunaannya pada tahun 1932 dan pernah dijadikan sebagai bunker pada tahun 1939. Anda perlu mendapatkan tiket sebelum boleh memasuki stesen metro ini.

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain