Diari Anne Frank Akhirnya Dedahkan Hidupnya Di Apartment Rahsia

anne frank

Dalam banyak-banyak kisah berkenaan kekejaman pihak Nazi semasa Perang Dunia Kedua, terdapat satu kisah menarik berkenaan sebuah diari milik seorang gadis muda berketurunan Yahudi yang menceritakan kisah hidupnya yang diselubungi ketakutan. Gadis ini bernama Anne Frank, yang dilahirkan pada 1929 di Frankfurt, Jerman. Apa yang menarik mengenai gadis ini? Ikuti cerita selanjutnya di bawah ini.

Anne Frank dilahirkan di Jerman, tetapi kemudiannya berpindah dan membesar di Belanda setelah pihak Nazi menguasai Jerman pada tahun 1933. Penguasaan pihak Nazi keatas Jerman sememangnya memberikan penderitaan yang sangat dahsyat kepada kaum Yahudi di sana.

Bermula persembunyian di apartment rahsia

anne frank
Rumah dimana terdapatnya satu apartment rahsia tempat Anne bersembunyi di Amsterdam

Pada tahun 1942, Anne dan keluarganya mula bersembunyi di sebuah apartment rahsia di belakang bangunan perniagaan milik bapanya, Otto Frank. Bukan itu sahaja, rakan perniagaan bapanya, Hermann van Pels turut menyertai mereka bersembunyi di apartment tersebut bersama-sama isteri dan juga anaknya. Kesemua mereka adalah berketurunan Yahudi. 

Ketika mereka bersembunyi di sana, sekumpulan pekerja Otto Frank bersama-sama setiausahanya, Miep Gies membantu menyeludup masuk makanan, barang keperluan dan berita kepada keluarga Anne. Kemudiannya, seorang lagi individu turut menyertai mereka bersembunyi iaitu seorang doktor gigi kepada Miep Gies yang juga berketurunan Yahudi.

Kesemua 8 individu yang bersembunyi di apartment rahsia ini tinggal dalam keadaan ketakutan kerana bimbang diketahui oleh pihak Nazi. ini menjadikan mereka tidak pernah terfikir untuk berada di luar rumah tersebut. Mereka perlu sentiasa senyap ketika siang hari untuk mengelakkan daripada dikesan oleh orang-orang yang bekerja di gudang yang berada di tingkat bawah. 

Persembunyian terbongkar, ditangkap pihak Nazi

Selepas 25 bulan bersembunyi di dalam rumah tersebut, tepat pada 4 Ogos 1944, Anne dan kesemua yang bersembunyi di apartment rahsia tersebut telah dijumpai oleh Gestapo, polis rahsia Jerman. 

Anne dan ibunya sepatutnya dihantar ke kem tahanan Auschwith yang terkenal dengan pusat pembunuhan kaum Yahudi, namun telah dihantar ke Bergen-Belsen yang berada di utara Jerman. Kesemua ahli keluarga Anne termasuklah Anne sendiri maut di kem tahanan Nazi, kecuali ayahnya yang sempat dibebaskan oleh Soviet daripada kem Auschwitz. Anne dipercayai mati akibat kelaparan semasa berada di kem tahanan Nazi.

Diari Anne Frank yang terkenal

nazi
Diari Anne Frank yang dipamerkan di Muzium Anne Frank

Selain daripada kisah Anne yang bersembunyi di sebuah apartment rahsia, terdapat satu lagi kisah menarik berkenaan Anne iaitu sebuah diari miliknya. Seusai bapanya pulang ke Amsterdam selepas dibebaskan dari Auschwitz, bekas setiausahanya, Miep Gies memberikan 5 buah buku nota bersama-sama 300 helaian kertas yang mengandungi tulisan Anne.

Diari miliknya itu banyak menceritakan mengenai dirinya, keluarga, dan kesemua individu yang turut bersembunyi bersamanya di rumah tersebut. Anne juga menceritakan usaha pekerja-pekerja bapanya yang membantu menyembunyikan mereka.

Miep Gies sempat menyorokkan kesemua penulisan milik Anne ini di dalam laci meja beliau sejurus selepas keluarga Anne ditahan oleh pihak Nazi. untuk pengetahuan anda, Anne pernah mengedit sendiri diarinya setelah mendapat saranan daripada pegawai Kerajaan Belanda agar penduduk Belanda menyimpan diari, jurnal atau surat berkenaan kehidupan mereka sewaktu pemerintahan Nazi. Saranan ini didengari oleh Anne melalui siaran radio pada bulan Mac 1944.

nazi
Tugu Anne Frank

Ayah Anne Frank telah menyusun kembali kesemua penulisan Anne untuk tujuan penerbitan di Belanda pada tahun 1947 dengan tajuk “Rear Annex”. Pada tahun 1952, ia diterbitkan di Amerika Syarikat dengan tajuk “The Diary of a Young Girl”, dan pernah menjadi salah satu daripada kurikulum untuk bacaan kanak-kanak sekolah di seluruh dunia. Ia juga pernah dijual sehingga berpuluh-puluh juta salinan di seluruh dunia.

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Sebar Ilmu Ke Media Sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on telegram
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email