Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Sisi Gelap ‘Alcatraz Malaysia’: Pulau Jerejak

Tahukah anda, Malaysia juga pernah mempunyai ‘Alcatraz’ tersendiri yang terletak di Negeri Pulau Pinang. Pulau Jerejak yang juga disebut sebagai ‘Alcatraz Malaysia’ pernah digunakan sebagai lokasi tahanan perang pada suatu masa dahulu. Menariknya, selain pernah dijadikan sebagai pusat tahanan banduan, ia juga pernah menjadi pusat penempatan pesakit kusta!

Pulau Jerejak, pulau tempat kawalan kesihatan

Semasa pentadbiran Francis Light keatas Pulau Pinang lagi, beliau mengamalkan dasar terbuka di mana ramai pendatang dari luar digalakkan untuk menetap di Pulau Pinang. Disebabkan oleh itu, Pulau Jerejak dijadikan sebagai satu pusat kawalan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan kepada kumpulan pendatang ini sebelum mereka boleh mendarat ke Pulau Pinang.

Selain itu, bagi rombongan haji yang pergi ke Mekah sekitar tahun 1930-an hingga 1940-an, mereka juga ditahan sebentar di pulau ini selama beberapa jam setelah pulang dari Mekah. Ini bagi memastikan mereka tidak membawa penyakit seperti Malaria masuk ke Pulau Pinang walaupun mereka telah pun divaksin sebelum bertolak ke Mekah.

Penempatan pesakit kusta, batuk kering (TB)

pulau jerejak
Hospital kusta yang dibina pada tahun 1871. Kredit: Free Malaysia Today

 

Sejak tahun 1868, Pulau Jerejak telah dijadikan lokasi penempatan pesakit kusta yang diasingkan daripada penduduk lain. Percaya atau tidak, pulau ini pernah menempatkan sekitar 7,000 orang pesakit kusta pada satu-satu masa. Selain daripada kusta, pesakit yang menghidap batuk kering atau tuberkulosis juga ditempatkan di pulau ini. 

Walau bagaimanapun, mereka yang menghidap TB ini ditempatkan di bangunan yang berasingan daripada pesakit kusta. Sebuah sanatorium khas untuk pesakit TB telah dibina di bahagian selatan pulau ini.

Seiring dengan masa, terdapat peningkatan kesedaran orang awam bahawa penyakit kusta ini tidak berjangkit melalui sentuhan fizikal. Kesemua pesakit kusta yang berada di pulau ini juga kemudiannya dipindahkan ke Pusat Kusta Negara yang terletak di Sungai Buloh.

Pusat tahanan British

pulau jerejak
Kredit: Free Malaysia Today

 

Di Pulau Jerejak kini, terdapat beberapa tinggalan sejarah seperti bekas penjara British yang dibina pada tahun 1930. Selepas kesemua pesakit kusta dipindahkan ke Sungai Buloh, pulau ini kemudiannya dijadikan sebagai pusat tahanan bagi tahanan politik yang menentang British. 

Antara mereka yang pernah dikurungkan disini ialah tokoh-tokoh yang menuntut pembebasan Tanah Melayu daripada penjajah seperti Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Penjara Pulau Jerejak juga pernah menempatkan tahanan di bawah Ordinan Darurat 1969, iaitu mereka yang terlibat semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969. 

Selain daripada tahanan politik, mereka yang didakwa di bawah tuduhan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 juga pernah ditahan di pulau ini.

Pernah memohon status Warisan Dunia UNESCO untuk Pulau Jerejak

pulau jerejak

Pihak Jabatan Warisan Negara pernah memohon kepada pihak UNESCO untuk menjadikan pulau ini sebagai satu warisan yang dipelihara dunia dan diletakkan di bawah senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO. 

Kini, terdapat satu resort yang telah diubah suai kembali daripada bangunan Jerejak Rainforest Resort & Spa yang pernah ditutup dan terbengkalai sebelum ini akibat faktor kerugian. Jika anda kesana, anda boleh menginap di Jerejak Island Resort dan melakukan aktiviti jelajah hutan dan melihat tinggalan sejarah yang banyak terdapat di pulau ini. Anda boleh mengambil perkhidmatan feri untuk ke pulau ini dengan bayaran sebanyak RM25 untuk orang dewasa dan RM16 untuk kanak-kanak.

Kredit gambar: Free Malaysia Today

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain