Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram

Kelebihan Psikologi Tuan Rumah Dalam Permainan Bola Sepak!

“Gol!”, teriak penyokong pasukan bola sepak negara kita dengan penuh semangat apabila Safawi Rashid berjaya menjaringkan gol cantik hasil tendangan percuma pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Indonesia yang berlangsung pada hujung tahun 2019.

Ia adalah antara saat yang paling menggembirakan buat penyokong pasukan Harimau Malaya kita. Ini kerana gol cantik ini berjaya dijaringkan di gelanggang keramat kita iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil. Adakah ini yang dinamakan sebagai home-ground advantage?

Pasukan bola sepak & gelanggang sendiri

bola sepak
Gambar Oleh Phalinn Ooi – Wikimedia (CC BY 2.0)

Dalam sukan bola sepak, sudah menjadi satu kelebihan apabila bermain di gelanggang sendiri. Lihat sahaja pasukan bola sepak Malaysia. Setiap kali bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil, kita sendiri dapat melihat kelainan corak permainan dan semangat pemain yang ditonjolkan.

Peratusan untuk kita menang di gelanggang keramat ini juga adalah lebih tinggi berbanding ketika bermain di stadium milik pasukan lawan. Bak kata pengurus pasukan negara kita, Tan Cheng Hoe, suasana stadium kita adalah antara yang terbaik di dunia.

Pada peringkat global, antara stadium yang paling ditakuti oleh pasukan bola sepak adalah Anfield, milik pasukan gergasi England, Liverpool. Menurut Pep Guardiola, pengurus pasukan Manchester City, Anfield adalah gelanggang yang akan membuat lawannya berasa ‘kecil’ dan ‘takut’ dek kerana atmosfera yang sangat luar biasa.

Jadi, benarkah wujud kelebihan menjadi tuan rumah dalam sukan bola sepak?

Kelebihan bermain sebagai tuan rumah

bola sepak
Gambar Oleh Hadi – Flickr (CC BY-NC 2.0)

Sebenarnya, bukan sukan bola sepak sahaja yang mempunyai kelebihan bermain sebagai tuan rumah. Hakikatnya, segala jenis sukan yang ada di dunia ini turut mempunyainya. Tidak kira pada peringkat sekolah, daerah, negeri atau global, pasukan tuan rumah pasti mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh laman sesawang psychology.iresearchnet.com, pasukan yang bermain di gelanggang sendiri mempunyai peluang tinggi untuk memenangi perlawanan, iaitu sebanyak 50 hingga 70 peratus! Apa sebabnya, ya?

Menurut kajian itu lagi, punca pasukan tuan rumah kerap memenangi permainan adalah didasarkan oleh faktor psikologi. Ini terjadi apabila pasukan tuan rumah sudah selesa dan terbiasa dengan gelanggang mereka sendiri.

Berbeza pula dengan pasukan lawan. Kemungkinan mereka untuk tewas dalam perlawanan adalah lebih tinggi ekoran faktor mereka bermain di gelanggang yang agak asing bagi mereka sekali gus membuat mereka kurang keyakinan diri.

bola sepak

Bukan itu sahaja, faktor penyokong juga memainkan peranan yang sangat penting. Dalam sukan bola sepak, penyokong yang hadir ke stadium selalu diibaratkan sebagai pemain ke-12 di atas padang. Atmosfera menakjubkan yang dicipta melalui sorakan daripada penyokong tuan rumah juga sudah tentu akan membakar semangat pemain di gelanggang.

Disebabkan sorakan yang sangat meriah di gelanggang sendiri, ia juga mungkin akan mempengaruhi mutu pengadilan permainan. Menurut satu kajian, pengadil perlawanan sukan akan cenderung untuk membuat keputusan yang menguntungkan pasukan tuan rumah. Ini sekali gus mampu mempengaruhi keputusan perlawanan secara umumnya.

Kredit: Hello Doktor

3 Minit Je menggalakkan perkongsian maklumat dengan matlamat ke arah bangsa yang lebih berpengetahuan dan berpendidikan. Kongsi maklumat ini dengan ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial anda. Jika terdapat sebarang pertanyaan, hubungi kami di sini.

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on telegram
Share on whatsapp

Artikel Lain